Makanan & Kesesuaian




 Makanan & Kesesuaian

 

Pemakanan yang sihat sangat penting untuk tubuh kita. Ini kerana diet pemakanan yang sihat sebenarnya dapat membantu menghasilkan tenaga serta dapat membantu tubuh kita bekerja dengan lebih baik. Tentu ramai di kalangan anda yang gemar menghabiskan masa berada di hadapan televisyen. Aktiviti sebegini memang menyeronokkan, tetapi anda harus ingat aktiviti seperti ini sebenarnya tidak bagus untuk tubuh badan anda.

Aktiviti ini dipanggil sebagai aktiviti statik kerana anda hanya duduk dan tidak sedikit pun melakukan senaman bagi membakar kalori dalam tubuh badan. Ini mungkin boleh mendatangkan kegemukan.

Untuk itu, bagi merangsang tubuh badan supaya bergiat aktif, anda bolehlah melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh seperti bermain, menari, menyertai acara sukan, mengemas rumah atau mencuci kereta di waktu lapang atau apa sahaja aktiviti yang dirasakan sesuai dengan keupayaan anda. Dengan melakukan aktiviti seperti ini, kita juga dapat membantu otot-otot kita menjadi kuat.

Apakah berat badan sepatutnya?

Manusia dilahirkan dengan saiz, tinggi, dan bentuk badan yang berbeza. Sebab itu, tidak semua orang mempunyai ketinggian, bentuk, dan berat badan yang sama. Berat badan sepatutnya dikategorikan sebagai sederhana, iaitu tidak gemuk dan tidak pula kurus.

Jika anda hendakkan berat badan sebegini, anda perlu menjauhi makanan yang mengandungi banyak lemak dan kalori. Tetapi, jangan berlapar sehingga badan berubah menjadi kurus. Makanlah dengan cukup. Oleh itu, banyakkan makan makanan berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran kerana badan anda amat memerlukan makanan tersebut.

Pemakanan

Tahukah anda apa itu asimilasi makanan? Asimilasi makanan ialah proses pencernaan dan penukaran makanan berkhasiat menjadi tisu hidup. Di samping itu, dengan adanya pemakanan, kita juga dapat mengetahui bagaimana badan kita bekerja. Dalam pemakanan ini terkandung semua jenis pengelasan makanan, misalnya vitamin, protein, lemak, dan sebagainya.

Makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, tenusu, dan bijirin sebenarnya dapat membantu pertumbuhan serta kesihatan tubuh badan anda.

 



Ketagihan gula

Tubuh manusia mudah menjadi ketagih terhadap pelbagai jenis bahan dan molekul kimia seperti alkohol, kafein, garam dan gula. Otak manusia mempunyai sejenis memori yang mengesan bahan kimia.

Apabila lidah merasa bahan kimia tersebut, otak akan membuat rakaman memori itu. Apabila tidak mendapat bahan tersebut, otak akan ‘meminta’ sehingga akhirnya ketagihan berlaku sehingga akhirnya mengganggu sistem tubuh kita.

       
    03
Ketagihan gula menyebabkan perubahan struktur dalaman dalam darah sehingga menyukarkan pembakaran lemak secara efektif. Akibatnya tubuh kita cenderung mengumpulkan lemak. Seseorang yang ketagihan gula cenderung untuk minum minuman manis beberapa kali sehari.

Kita juga cepat lapar dan mudah letih. Bila mengambil minuman manis dia berasa seolah-olah bertenaga. Namun perasaan itu tidak kekal lama. Dalam tempoh beberapa jam dia teringin minuman manis semula. Dengan erti kata lain perasaan letih dan lapar yang dialaminya merupakan satu ketagihan.

Meskipun banyak gula diambil, paras gula dalam darah sentiasa rendah (hypoglycaemia). Tubuh begitu cepat menukarkan gula kepada lemak. Kadar tindak balas kimia dalam darah begitu cepat sebenarnya merupakan sesuatu yang tidak baik.

Pada peringkat awal golongan ini menganggap diri mereka sihat kerana doktor memberitahu mereka tidak mengidap kencing manis. Mereka sering berkata ‘tak apa gemuk asalkan saya sihat’. Namun selepas beberapa tahun mereka pasti akan terkejut apabila disahkan mengidap kencing manis dan penyakit kronik yang lain seperti jantung. Tubuh pula semakin letih tidak bermaya.

Jelaslah obesiti dan paras gula yang rendah pada awalnya merupakan suatu petanda buruk dan permulaan kepada bahaya-bahaya lain yang bakal menimpa.

 



Kenapa begini

Metabolisme rendah mengundang keletihan, jantung berdebar-debar dan mood yang tidak stabil. Ramai yang pergi berjumpa doktor kerana merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan tubuh mereka. Tetapi doktor gagal mengesan masalahnya kerana pemeriksaan pada darahnya adalah normal.

Antara pemeriksaan yang dibuat adalah paras gula, paras kolesterol dan tekanan darah. Doktor memberitahu supaya berdiet dan melakukan senaman. Itu sahaja.

Mereka yang mengalami masalah ini pasti tertanya-tanya, jika mereka sihat mengapa berasa letih. Hati meronta-ronta mahu membuat senaman dan menjalani gaya hidup aktif tapi tubuh tidak mahu bergerak.

Apakah sebenar yang berlaku

Apabila kita makan banyak makanan berkarbohidrat dan bergula tinggi paras gula dalam tubuh kita meningkat. Insulin iaitu hormon yang mengawal kestabilan paras gula dalam tubuh juga akan meningkat. Apabila terdapat terlalu banyak insulin maka paras gula dalam darah akan menjadi rendah. Lama kelamaan tubuh kita tidak lagi sensitif kepada insulin.

Maka insulin mula terhasil dengan semakin banyak mula memberikan kesan negatif. Paras insulin yang tidak menentu menyebabkan paras gula tidak stabil. Apabila gula terlalu rendah seseorang mula berasa gelisah, resah, berdebar-debar dan moodnya tertekan dan  akan sering kelesuan.


Kitaran yang berbahaya

Tubuhnya yang lemah akan memberi signal berterusan kepada otak bahawa ia kurang tenaga. Akibatnya mereka akan mengambil makanan manis bagi meningkatkan paras tenaga.  Keletihan dan kurang tenaga disalah tafsir oleh otak sebagai lapar. Fenomena ini menjadi suatu kitaran yang berbahaya kerana lama kelamaan tubuh akan menjadi bertambah gemuk serta mengundang pelbagai penyakit kronik.

Apabila tubuh tidak lagi sensitif terhadap insulin maka kitaran hormon dalam tubuh kita akan menjadi kelam kabut. Hormon adrenal seperti ACTH akan keluar dengan banyak menyebabkan lemak berkumpul pada belakang tengkuk dan belakang badan kita.

Badan akan mengembang menjadi bertambah lebar dan semakin besar. Bahagian dari pinggang ke atas tampak besar longgar dan menggeleber. Usaha bersenam dan berdiet adalah sia-sia kerana lemak seperti ini tidak boleh dipulihkan dengan diet. Sebaliknya ia hanya boleh dipulihkan dengan pemulihan sistem hormon tubuh kita.

Pemulihan semula memerlukan komitmen yang tinggi kerana ia melibatkan perubahan dalam cara makan, pemilihan makanan dan aktiviti seharian.

sumber : Utusan Malaysia


Siapakah yang tergolong dalam obesiti

• Mempunyai berat badan sekurang-kurangnya dua kali lebih berat berbanding ukuran ideal;
• Mempunyai berat badan sekurang-kurangnya 45 kilogram melebihi berat badan sepatutnya;
• Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 40 atau 35 (sila lihat di bawah untuk bagaimana
   mengira BMI);
• Mengalami beberapa penyakit seperti tekanan darah tinggi atau diabetes (kencing manis);
• Gagal mengekalkan berat badan yang sihat dalam jangka panjang sekalipun mengikut diet
   yang disarankan oleh pakar-pakar pemakanan.

No comments:

Post a Comment